Petua menghilangkan bau nifas sewaktu berpantang.

Petua ini saya ambil dari sebuah buku untuk tatapan semua.Seperti yang kita semua ketahui darah nifas ada kalanya berbau kurang menyenangkan. Jangan bimbang kerana masih ada cara untuk menghilangkan bau tersebut.

Caranya ambil temulawak sebesar jari , di kupas dan di cuci  .Hiris nipis- nipis setelah di bersihkan dan di campurkan dengan asam jawa sebesar guli. Masukkan juga gula dua sudu dan di tuangkan air mendidih di dalam gelas. Kacau bahan tersebut dan di biarkan sejuk barulah di minum. Lakukan petua ini seminggu 2 kali sehingga darah nifas anda kering.

Selamat Mencuba!

Kak Rahimah

Petua merawat ruam lampin.

Kulit bayi yang masih lembut adalah amat sensitif. Jika lampin tidak di tukar atau terlalu lama kemungkinan bayi akan terkena ruam lampin. Seseparuh bayi mengalami kulit yang kemerahan dan apabila tiada rawatan yang betul, ia menjadi melecet menyebabkan kesakitan dan rasa tidak selesa .

Ini juga berlaku kepada seluruh tubuh jika cuaca di luar yang panas menyebabkan timbulnya ruam di seluruh tubuh bayi. Petua mudah untuk mengatasi ruam lampin atau ruam di bahagian seluruh badan ini ialah dengan menggunakan tepung ubi. Selepas memandikan bayi, sapukan tepung ubi di bahagian yang terkena ruam sebelum memakaikan lampin. Begitu juga di bahagian badan hanya perlu sapukan di seluruh bahagian yang terkena ruam dan insyaalah ruam akan berkurangan.

Selamat mencuba!

Kak Rahimah

Apa yang selalu di lakukan oleh ibu kita selepas saja kita bersalin?

Rata-rata ramai bakal ibu yang tidak tahu apa yang selalu di lakukan oleh ibu kita sebaik sahaja kita selesai bersalin. Sebagai panduan, hari ini saya selitkan sedikit info berguna untuk anda.

Kebiasaannya, sejurus selepas kita balik dari hospital ( selalunya pada hari ke 3 ) kita akan hanya di suruh berbaring dan tidak banyak bergerak. Barang-barang berat ( kadangkala sangat ringan) pun tidak di beri untuk di pegang ).Pada waktu ini, luka bersalin masih baru dan tukang urut atau bidan hanya akan di panggil untuk mengurut pada hari ke 4 atau 5. Di takuti ibu yang baru bersalin akan berasa sakit ketika di urut kerana urutan di lakukan ke seluruh tubuh dari kaki hingga ke kepala.

Urutan biasanya di lakukan selama 3 hari berturut-turut dan selalunya di waktu pagi. Bangun dari tidur kita akan di suruh mandi air panas ( air daun-daun yang di rebus seperti serai wangi, daun pandai, daun mengkudu ).Tujuannya untuk menambah kesegaran badan dan menghilangkan rasa sengal-sengal.

Selepas mandi badan akan di urut dari kaki hingga ke kepala untuk melancarkan peredaran darah dan mengilangkan rasa sengal-sengal di sendi-sendi badan semasa proses meneran atau menolak bayi keluar.Selesai berurut , anda akan menjalani proses bertungku pula. Bertungku juga mengambil masa yang agak lama. Cara bertungku juga harus betul supaya tujuan bertungku itu mencapai maksudnya seperti mengecutkan peranakan dan memecahkan darah beku supaya habis keluar.

Selalunnya, batu sungai akan di panaskan dalam 15-20 minit di atas tungku.Setelah itu daun mengkudu atau mungkin ada daun yang lain seperti daun pandan( ada yang menggunakannya ) akan di letakkan di atas sehelai kain sebagai alas. Keseluruhan batu tadi akan di tutup dengan daun tadi dan kemudian akan di tutup pula dengan kain untuk mengurangkan kadar kepanasan batu tungku tadi.

Selesai bertungku anda akan di pakaikan barut atau bengkung untuk mengembalikan semula bentuk tubuh. Di kampung selalunya kapur sirih di campurkan dengan perahan limau nipis dan di sapu di sekeliling perut sebelum di pakaikan barut. Tujuannya untuk mempercepatkan proses pengecilan dan menganjalkan semula perut anda. Seeloknya anda berbarut 24 jam kecuali waktu mandi.Ini kerana kesannya akan lebih cepat di lihat berbanding jika anda hanya memakai barut atau bengkung cuma beberapa jam sahaja . Jadi jangan ambil ringan soal berbengkung ya!

Setelah selesai berbengkung barulah anda di beri sarapan pagi. Dan semestinya di peringkat awal ada perahan air kunyit untuk melancar dan mencuci darah. Air kunyit ini tidaklah banyak , setakat 1cm saja dari paras cawan yang kita guna. Anda cuma boleh bersarapan dengan makanan yang ringat dan lembut dahulu seperti roti dan biskut supaya mudah di hadamkan.

Selepas itu barulah anda selesai untuk berehat dan kembali bertungku di sebelah petang. Sepanjang waktu ini anda akan di pakaikan dengan baju panas dan bersetokin sepanjang masa ( bukan senang nak kembali anggun ni )!Kalau cuaca tengah panas memanglah terasa betul seksanya tapi kalau waktu musim hujan tidaklah terasa sangat. Untuk kembali anggun kenalah bersusah payah sedikit betul tak?

Jadi cukup untuk hari ini dan saya akan sambung kembali untuk artikel seterusnya.

Selamat berpantang!

Kak Rahimah

5 panduan memilih set rawatan lepas bersalin yang baik

Hari ini saya terpaksa bercuti kerana ada emergency. Cuaca juga agak kurang baik kebelakangan ini dan ramai yang batuk-batuk dan rasa kurang sihat termasuk saya. Sebab itulah saya tidak dapat mengupdate blog ini selama beberapa hari.

Kali ini saya ingin menulis tentang tips bagaimana mahu memilih set bersalin sebagai persedian dalam pantang.Ini sering di hadapi oleh ramai wanita mengandung yang bakal menimang cahaya mata. Bagi ibu yang telah mempunyai anak, ia tidaklah begitu sukar kerana mereka pernah mengalami sendiri dan mengetahui sesuatu set itu bagus atau tidak. Tetapi perkara ini penting untuk bakal ibu yang akan menimang cahaya mata yang pertama.

Oleh kerana banyak jenama yang berada di pasaran, mereka  kadangkala tidak tahu yang mana satu yang benar-benar bagus.Ada set rawatan lepas bersalin yang berharga murah , sederhana dan ada juga yang tidak kurang mahalnya. Dalam pada itu juga ada set rawatan lepas bersalin ini yang mengandungi produk penjagaan bayi di dalam set mereka.

Kesilapan memilih akan merugikan bakal ibu itu sendiri kerana setiap satu set ini mencecah ratusan ringgit. Tetapi adalah lebih malang lagi kerana ibu-ibu yang baru bersalin ini tidak mendapat khasiat dan rawatan yang amat diperlukan untuk tujuan pemulihan.

Untuk tidak merugikan bakal ibu itu sendiri, adalah di sarankan mereka melihat ciri-ciri berikut sebelum memilih set rawatan lepas bersalin yang akan mereka pakai.

1.Set Rawatan Lepas Bersalin yang baik mengandungi produk rawatan penjagaan luaran dan dalaman buat si ibu.

Kedua-dua rawatan ini mesti ada supaya tubuh mereka dapat di pulihkan dengan betul.Jika set rawatan lepas bersalin ini hanya bertumpu pada dalaman atau luaran semata-mata, maka jengok-jengok set rawatan lepas bersalin yang lain.

 

2.Set Rawatan Lepas Bersalin juga mestilah mengandungi ramuan herba yang benar-benar bermutu.

Faktor ini amat penting kerana kesihatan ibu yang baru bersalin telah mengalami kecederaan dari luar dan dalam. Tubuh yang telah cedera mesti di rawat dengan baik dengan menggunakan herba yang terbukti membantu mempercepatkan proses penyembuhan.

Jika wanita yang baru bersalin tidak dapat rawatan yang baik, di takuti mereka menghadapi risiko penyakit dalaman seperti “gila meroyan”.Selalunya produk yang bermutu tinggi akan mempamirkan anugerah atau pengiktirafan yang mereka terima di kotak set rawatan lepas bersalin mereka. Anda boleh mendapatkan maklumat tersebut dengan melihat label yang tertera di kotak set tersebut.

 

3.Set Rawatan Lepas Bersalin yang di pilih juga seharusnya memiliki kelulusan dari kementerian kesihatan.

Cuba lihat samada label Kementerian Kesihatan bersama nombor pendaftaran mereka tertera di botol atau di set rawatan lepas bersalin tersebut. Ini penting untuk memastikan bahan yang di gunakan adalah mengikut dos yang di benarkan. Ia juga untuk mengelakkan risiko bakal ibu mengalami kesan sampingan yang tidak seharusnya berlaku. Faktor ini juga penting di ambil kira untuk mengelakkan anda membeli produk yang palsu.

 

4.Set Rawatan Lepas Bersalin anda seeloknya sesuai dengan iklim dan suasana tempat anda tinggal.

Faktor ini juga harus di fikirkan kerana tahap penggunaan herba sesuatu masyarakat adalah berbeza.Di Malaysia penggunaan jamu adalah masih rendah di bandingkan dengan negara jiran seperti di Indonesia.Kerana itulah sesetengah produk kecantikan luar negara mengkhaskan produk khas untuk orang Asia.

Jika anda sudah biasa dengan jamu atau herba semenjak remaja anda boleh membandingkan bahan yang terkandung di label kotak atau botol produk tersebut.

 

5.Harga sesuatu Set Rawatan lepas Bersalin tersebut seeloknya tidak terlalu mahal atau terlalu murah.

Walaupun ia bukanlah perkara yang terlalu penting untuk di fikirkan, harga sesebuah set rawatan lepas bersalin tersebut sepatutnya adalah setanding mutunya.Tiada gunanya anda memilih set bersalin yang murah jika kesannya tidak seberapa. Set Rawatan Lepas Bersalin yang terlalu mahal juga belum tentu menjanjikan kesan yang anda ingini.Kadangkala ada pengeluar yang sengaja memasukkan produk yang tidak berapa perlu semata-mata untuk mengaut keuntungan.

 

Kelima-lima faktor di atas harus di fikirkan sebelum anda mula memilih set rawatan lepas bersalin yang di ingini. Biarlah tempoh berpantang 44 hari itu menjadi tempoh pemulihan yang benar-benar berkualiti .Tubuh yang sihat akan terpancar dari penjagaan luaran dan dalaman yang betul. Bukan sahaja ibu-ibu yang mendapat khasiatnya, malah bayi dan seluruh kaum keluarga si ibu juga mendapat  faedahnya.

Saya harap anda semua akan dapat sedikit sebanyak panduan sekarang bagaimana set bersalin yang anda mahu.Semuga berjumpa lagi !

Yang kurang sihat hari ini,

Kak Rahimah

2 Petua mudah merawat bayi yang demam.

Bayi yang demam atau kurang sihat pasti meragam dan anda juga pasti tidak dapat berehat dengan secukupnya. Jangan anda ambil mudah kerana jika panas badan terlalu tinggi, bayi anda mungkin akan terkena sawan. Anda boleh mencuba petua ini sementara anda dapatkan rawatan di hospital atau anda boleh melakukannya sebagai ikhtiar.

1.Mengurangkan panas badan dengan air asam jawa.

Caranya ambil sebuku asam jawa, ramas dengan sedikit air. Setelah pekat,sapukan air ramasan asam jawa tersebut pada ubun-ubun dan seluruh kepala. Biarkan sehingga lumuran tadi kering di kepala.Anda akan dapati , panas badan bayi anda akan berkurangan. Buat beberapa kali dalam sehari.

 

2.Mengurangkan panas badan dengan beras pulut.

Petua ini di ajar oleh ibu mertua saya ketika anak saya yang ke empat telah masuk minggu ke dua tidak sembuh. Caranya ambil segengam beras pulut dan di goreng tanpa minyak seperti anda membuat kerisik. Goreng sehingga beras pulut tadi berwarna kekuningan.

Setelah itu ambil sedikit beras pulut yang telah di goreng tadi dan di campurkan dengan secawan air panas. Tunggu air tadi suam dan di tapis.Bolehlah beri bayi anda minum air tersebut. Lebihan beras tadi boleh di buat mandi dengan mencampurkannya ke dalam air panas dan di buat mandian. Insyaalh panas badan bayi anda pasti akan berkurangan.

Semuga bayi anda cepat sembuh,

Kak Rahimah

Petua menghadapi masalah cramp semasa mengandung

Masalah cramp selalu di hadapi oleh wanita mengandung. Rasa seperti bersimpul dan kejang di bahagian betis terutama sewaktu tidur kadangkala amat mengganggu. Saya sendiri pernah terpaksa mengambil cuti sakit selama beberap hari kerana tidak berdaya untuk berjalan dengan betul.

Masalah ini sering berlaku apabila kandungan membesar dan bayi anda memerlukan kalsium untuk pembentukan tulang.Untuk mengatasi masalah ini ada beberapa cara :

1.Sebelum tidur alas kaki anda dengan bantal supaya kedudukan kaki lebih tinggi. Atau anda boleh memakai stokin supaya kaki tidak terdedah pada angin sejuk.

2.Ketika duduk atau jika anda bekerja, letak kotak di bahagian kaki supaya dapat menampung kaki anda.

3.Minum susu sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali sehari supaya tubuh mendapat kandungan kalsium yang mencukupi.

 Selamat mencuba!

Kak Rahimah

Melamin dalam susu tepung dan kelebihan susu ibu.

Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan berita kematian bayi yang ramai di negara China. Puncanya kerana terdapatnya bahan melamin di dalam susu tepung yang di gunakan. Selepas itu pula kita dikejutkan pula dengan pengharaman produk makanan berasakan tenusu dan sayur-sayuran kerana ia juga mengandungi  melamin yang melebihi  tahap yang di benarkan.

Melamin merupakan bahan yang di gunakan dalam pembuatan plastik dan sudah tentu ia tidak hadam apabila di makan ( ini merupakan pandangan saya ).Bayangkan bagaimana sesuatu benda yang tidak hadam di minum di berikan kepada bayi tidak tahu apa-apa!

Di sinilah pentingnya kesedaran bagaimana susu ibu merupakan makanan yang terbaik untuk bayi!Bukan susu lembu , soya atau apa saja yang di buat dari bahan mentah. Jika anda tiada masalah dalam menyusukan bayi seperti saluran susu yang tersumbat, melecet atau sebagainya anda patut memberikan yang terbaik buat mereka. Oleh itu mari kita lihat antara 4 kelebihan susu ibu :

  • Susu ibu mengandungi antibodi - Kolustrum yang di keluarkan dari susu ibu mengandungi antibodi dalam menentang bakteria. Ia dapat menahan bayi anda dari ancaman penyakit lebih-lebih lagi sekarang ini macam-macam penyakit yand dulu jarang-jarang di hidapi oleh rakyat di Malaysia ( sebab itulah susu kolustrum yang banyak di jual dalam bisnes MLM sangat popular ).
  • Menyusukan bayi mempercepatkan proses pengecutan rahim.- Semakin aktif anda menyusukan bayi anda, semakin cepat rahim anda mengecut. Anda selalunya akan rasa kurang selesa jika rahim masih besar dan tidak mengecut.
  • Meransang pengeluaran susu dengan lebih banyak.-Susu ibu akan keluar dengan lebih banyak jika anda menyusukan bayi anda.Ini bermakna anda tak perlu bergantung pada susu tepung kerana ada ada susu tepung ( kebanyakannya susu lembu ) yang kurang sesuai dengan bayi menyebabkan mereka alah ( bayi asyik muntah ).
  • Merapatkan hubungan ibu dan anak- Tahukah anda bayi anda akan terasa di sayangi dan selamat setiap kali anda mendakapnya ketika menyusukan mereka ( bau anda juga mereka kenal ). Hubungan anda dan bayi juga akan lebih rapat .

Selain daripada kebaikan di atas anda bukan saja dapat menjimatkan wang( sebab tak perlu beli susu tepung yang bukan saja kurang selamat sekarang ini)  malah tak perlu pula bawa botol susu kemana saja anda pergi kerana segalanya telah tersedia !

Selamat menyusukan bayi,

Kak Rahimah

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Assalamualaikum kepada pembaca blog saya yang saya sayangi,

Hari ini saya akan balik ke kampung suami saya di Perak. Jadi hari ini saya nak ambil kesempatan ini untuk memohon maaf jika selama saya berinteraksi dengan anda terdapat kekasaran dan kesilapan yang mungkin tidak saya sedari.

Saya juga masih berhutang dengan pelawat yang melanggan mailing list saya kerana bulan ini saya masih belum hantar tips-tips lansing dan newsletter seperti yang di janjikan. Sebenarnya saya sedang berusaha untuk mempercepatkan proses penghantaran tips dan newsletter dengan menggunakan perisian yang sedang saya uji dan dalam tempoh percubaan.

Insyaallah selepas bercuti hari raya , saya akan terus mengemaskinikan dan menghantar info tersebut dengan lebih teratur. Kesabaran anda semua amat saya hargai!

Kepada pelanggan saya yang baru saja bersalin, saya ucapkan congratulation dan anda boleh sms/hubungi saya jika ada apa-apa yang anda kurang faham dengan cara penggunaan set bersalin yang telah anda miliki.

Dan kepada pelanggan yang baru saja menempah set bersalin pada hari terakhir dan semasa cuti raya, saya akan courrier kepada anda sebaik sahaja saya kembali ke Kuala Lumpur. Maaflah sangat-sangat sebab tengah sibuk packing barang-barang untuk balik ke kampung.

Akhir kata Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Yang sedang seronok untuk berhari raya!

Kak Rahimah

Kenapa gagal langsing selepas bersalin?

Hello selamat malam kepada pembaca blog yang di hormati,

Saya sering mendengar rungutan dari ramai wanita yang telah berkahwin betapa sukarnya mereka  untuk slim semula selepas bersalin. Kata mereka , mereka berpantang selepas melahirkan cahaya mata tapi masih macam tu jugak! Kenapa agaknya?

Soalan ini sebenarnya ada banyak jawapan dan antara sebabnya adalah seperti berikut :

1.Berbengkung lebih kurang

Ini maksudnya mereka berbengkung tapi serupa macam tak berbengkung !  Apa yang saya selalu saya dapat bila bertanya lebih lanjut ialah walaupun mereka berbengkung, ia tidak di lakukan sepenuhnya. Ada yang memakai bengkung 1/2 hari , ada yang waktu pagi sahaja dan macam-macam lagi.Untuk mendapat hasil yang memuaskan, anda sebenarnya harus berbengkung sepanjang masa sewaktu dalam tempoh berpantang.

Bengkung perlu di pakai dengan betul dan kejab di badan. Sebelum memakai bengkung, sapu dulu sekeliling perut dan pinggul dengan ubat barut.Ubat barut  berfungsi untuk mempercepatkan proses pemecahan lemak .Gabungan ubat barut yang berkesan, ikatan bengkung yang kejab dan kesungguhan pemilik tubuh untuk terus memakai bengkung sewaktu tempoh 44 hari akan membantu proses pelangsingan dan pembentukan tubuh dengan lebih cepat.

2.Tidak menjaga pemakanan

Memang agak sukar untuk menelan makanan yang hanya di rebus dan di panggang jika selama ini makanan anda berminyak dan bersantan.Jika kita faham kenapa makanan berminyak dan bersantan tidak di galakkan sewaktu berpantang tentu kita akan berhati-hati. Sewaktu mengandung terutama sekali yang berselera tinggi , berat badan mungkin bertambah lebih dari pertambahan normal( 8-10 kg ) iaitu antara 20kg.

Jika anda tambah lagi makanan yang berminyak ( sudah tentu kolestrol pun bertambah ) sudah tentu memang susah untuk kurus semula.Sebab itulah sajian makanan yang sihat ialah makanan yang di masak dengan cara memanggang, merebus, stim atau kukus.Cara sajian ini jugalah yang akan anda nikmati jika anda pernah bermalam di hospital!

 

3. Rawatan dalaman dan luaran yang kurang berkesan,

Ramai yang agak berkira untuk mencari rawatan bersalin atau set bersalin yang murah dan bukan yang berkesan .Ada set bersalin yang berharga murah tetapi adakah ia benar-benar berkesan untuk menurunkan berat badan anda? Pelawasan semasa tempoh berpantang adalah amat penting kerana lemak dan air yang berlebihan mesti di singkirkan dengan konsistent. Jika set bersalin ( atau loose product-anda beli bukan dalam set ) tidak membantu proses pelawasan bagaimana berat anda mahu turun ?

Satu lagi anda juga mungkin terpaksa menjadi penunggu bilik air kerana luka jahitan anda belum sembuh ( paling ramai menghadapi masalah sembelit selepas bersalin).Bukan sahaja anda jadi penunggu, anda juga boleh terasa tension dengan kesakitan dan rasa tertekan dengan keadaan anda yang kurang memuaskan di samping terpaksa memikul tanggungjawab baru sebagai seorang ibu!

Kesimpulannya peluang untuk mendapatkan kembali kelangsingan tubuh selepas bersalin sebenarnya terbuka luas. Anda hanya perlu  pilih samada untuk melakukannya atau tidak? Jika anda pilih untuk sambil lewa , maka separuh jugalah apa yang anda akan dapat. Dan jika anda pilih untuk melakukannya bersungguh-sungguh , tak ada sebab kenapa anda gagal!

Yang prihatin!

Kak Rahimah

6 Petua mengempiskan perut dan melangsingkan badan.

Hello dan selamat tengahari kepada anda semua.

Tengah hari ni saya nak postkan tips mengempiskan perut. Pada mereka yang baru bersalin waktu berpantang adalah waktu terbaik untuk mengempiskan perut. Pakai saja bengkung bersalin tu sehingga 44 hari. Juga hanya tanggal waktu nak mandi sahaja. Selepas mandi pakai bengkung semula.

Cara ini lebih berkesan kerana jika kita tidak memakai bengkung, kita mempunyai potensi untuk makan lebih dari yang patut. Ada juga yang memakai bengkung di sebelah pagi tetapi menanggalkannya di waktu petang dan berlarutan sehingga malam. Cara ini kurang efektif kerana kita tidak bersungguh-sungguh dan sudah tentu kita tidak boleh merungut jika sehabis pantang perut kita masih menggeleber!

Baiklah jom kita lihat satu persatu petua yang saya kumpul dari sebuah majalah dan buku petua. Mudah-mudahan hasilnya menggembirakan kita ya!Sangat mudah kerana bahan-bahan yang di gunakan adalah bahan yang murah malah boleh di pasar atau di tanam sendiri. Jadi kepada pembaca yang mahu mencuba petua-petua di bawah jangan lepaskan peluang.

1.Kempiskan perut dengan Asam Keping.

-Ambil satu atau 2 keping asam keping dan masukkan ke dalam segelas air panas..
-Biar beberapa jam sehingga asam keping menjadi kembang & air menjadi suam..
-Minum setiap pagi dan malam.
-Jika di amalkan selalu insyaalah perut yang buncit akan berkurangan.

 

2.Lansing dengan teh dan limau kasturi.

-Sebelum sarapan pagi elok di amalkan minum teh tanpa gula.
-Perahkan jus limau kasturi ke dalam teh anda.

 

3.Lansing dengan daun cekur.

-Ambil segenggam daun cekur, tepung beras,asam jawa,gula merah, gula pasir & garam.
-Campurkan kesemua bahan tadi dan di tumbuk.
-Masukkan 1/2 gelas air.
-Tapis dan minum selama 4 hari berturut- turut.

 

4.Khasiat asam jawa.

-Ramas air asam jawa dalam 1 gelas.
-Masukkan air tadi ke dalam peti sejuk.
-Minum air tersebut selepas makan tengah hari atau selepas makan malam.
-Lemak di badan pasti akan berkurangan.

 

5.Lansing dengan biji manjakani.

-Ambil 4 biji manjakani, 5 biji lada hitam dan 3 ulas bawang putih.
-Campur kesemua bahan tadi dan di rebus di dalam periuk tanah.
-Biar mendidih dan di sejukkan.
-Minum air rebusan ini 2 hari berturut-turut.
-Ia melansingkan badan di samping merawat luka dalaman bagi ibu yang baru bersalin.

 

6.Temu hitam.

-25 gm temu hitam
-25 gm bonglai
-Air 400 ml

-Rebus kesemua bahan tadi ke dalam air sehingga menjadi 200 ml.
-Selepas suam, masukkan sedikit jus limau nipis dan minum setiap hari semasa berpantang.

 

Kepada pembaca yang ingin dan sedang mencuba petua ini nanti bagi tahulah kepada pembaca blog yang lain. Mungkin kejayaan anda akan menjadi inspirasi kepada mereka yang mungkin gagal dalam usaha mereka selama ini.

Selamat mengempiskan perut!

Kak Rahimah

 

 

WordPress Themes